LAHAD DATU: Tiga lelaki ditahan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan merampas 69.47 gram syabu dalam dua operasi berasingan awal pagi tadi di bawah pelaksanaan Op Tapis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
Dalam operasi pertama kira-kira jam 3.30 pagi, pasukan BSJND melakukan serbuan di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang sawit Kampung Sungai Merah, Felda Sahabat. Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 32 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Pemeriksaan lanjut menemukan empat paket syabu seberat 6.55 gram dengan nilai anggaran RM720.50.
Sementara itu, dalam serbuan kedua sekitar jam 5 pagi di sebuah rumah pekerja di Lestari, Felda Sahabat 11, polis menahan dua lagi lelaki masing-masing berusia 32 tahun.
Pemeriksaan di lokasi menemukan sebuah beg silang berwarna hitam berisi tiga paket syabu seberat 62.92 gram, bernilai anggaran RM6,921.20. Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Ketiga-tiga suspek kini direman bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati.
-Tamat-
