Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori treler berkenaan.
TAWAU: Seorang pemandu lori treler membawa muatan kayu balak maut selepas kenderaan berat itu terbabas sebelum terbalik di bahu jalan berhampiran kawasan Maliau Basin, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 133 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, mangsa didapati tersepit di bahagian pemandu. Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
“Lelaki berusia lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi ditamatkan pada jam 1.19 tengah hari selepas pasukan keselamatan memastikan kawasan kejadian benar-benar selamat.
