Screenshot
SANDAKAN : Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah selepas dipercayai dibunuh abangnya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Karamunting.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Jumaat lalu tetapi hanya disedari pada Ahad, mangsa berusia 43 tahun ditemui berlumuran darah di dalam bilik tidurnya kira kira jam 5.30 petang. Ibu mangsa yang curiga selepas pintu bilik terhalang bertindak memaksa masuk sebelum menemui tubuh anaknya itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata ketika kejadian hanya dua beradik itu berada di rumah.
“Siasatan awal mendapati kira kira jam 8.45 malam hari yang sama, susulan maklumat yang diterima, polis menahan abang mangsa berusia 44 tahun di kawasan sekitar. Suspek turut membawa polis menemui seluar dipakainya yang berlumuran darah serta tiga bilah parang yang dipercayai digunakan dalam serangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala, belakang telinga, perut dan tangan akibat senjata tajam dan proses bedah siasat akan dijalankan.
ACP George berkata jiran turut memaklumkan pernah mendengar bunyi mengerang pada pagi Jumaat namun tidak menyangka ia berkait dengan insiden tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dipercayai mempunyai masalah mental. Dia tinggal bersama keluarga di rumah berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
