KENINGAU. Keceriaan dua remaja yang bermain sembunyi-sembunyi bertukar tragedi apabila seorang pelajar tingkatan dua maut selepas terkena tembakan bakakuk di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, semalam.
Dalam insiden kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun rebah selepas ditembak dari jarak anggaran tiga meter oleh rakan sebaya yang secara tidak sengaja menarik picu senjata buatan sendiri tersebut. Penduduk kampung segera membawa mangsa ke Hospital Keningau namun dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan.
Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai memaklumkan bahawa sebelum kejadian, suspek ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah lalu meminta untuk memegangnya sebagai gurauan.
“Ketika mereka bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah. Suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu sebelum tembakan dilepaskan ke arah mangsa,” katanya.
Pemeriksaan perubatan mendapati terdapat empat belas kesan tembakan pada tubuh mangsa melibatkan bahagian dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan.
Siasatan polis mendapati senjata berkenaan disorokkan oleh adik suspek berusia 13 tahun, manakala pemilik asal bakakuk ialah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun. Ketiga-tiga beranak itu kini ditahan bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas senjata bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit. Bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
