KOTA KINABALU: Seorang gadis kecil dari Sabah, Noor Hafizah Zubaidi atau lebih dikenali sebagai Fifiana, mencipta detik bersejarah apabila beraksi buat pertama kali dalam perlumbaan ultra trail berprestij, Chiang Mai UTMB (Ultra-Trail du Mont-Blanc) yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember lalu di Chiang Mai, Thailand.
Acara antarabangsa itu dianjurkan Running Connect Company Limited dan merupakan antara kejohanan utama dalam siri dunia UTMB World Series yang menjadi impian setiap pelari denai di seluruh dunia.
Untuk kemunculan sulungnya, Fifiana memilih cabaran paling ekstrem dengan jarak 160KM, sekali gus menguji ketahanan fizikal dan mentalnya. Laluan perlumbaan mencatatkan pendakian keseluruhan 9,711 meter selain had masa ketat 48 jam. Setiap water station dan checkpoint turut mempunyai cut-off time tersendiri yang memerlukan fokus tanpa henti.
“Ini adalah impian setiap pelari denai dan saya mahu menggapai impian pertama saya untuk menamatkan larian 160KM di sini,” katanya.
Walaupun baharu pertama kali menyertai kejohanan UTMB, Fifiana sudah menyertai sembilan acara Marathon Jalan Raya tahun ini di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, Miri, Kuching, Putrajaya, Kuala Lumpur serta Osaka, Jepun.
Gadis berasal dari Tamparuli ini turut memiliki pengalaman dalam dua acara trail marathon di Sabah iaitu Kadamaian Adventure Race sejauh 60KM dan The Most Beautiful Thing (TMBT) sejauh 50KM yang menjadi asas kepada kekuatan mental dan fizikalnya.
Komitmennya dalam dunia larian tidak terhenti di garisan penamat. Fifiana turut memimpin komuniti pelari di Kota Kinabalu dikenali sebagai RUNSYND yang menganjurkan sesi latihan percuma dan berbayar untuk pelari baharu mahupun berpengalaman. Komuniti ini aktif berkongsi ilmu teknik larian sambil memupuk budaya sukan yang lebih sihat di Sabah.
