Kebebasan bersuara merupakan tonggak penting dalam negara demokrasi, namun ia tidak
bersifat mutlak dan datang bersama tanggungjawab moral serta undang undang.
Dalam konteks Malaysia, institusi diraja mempunyai kedudukan istimewa sebagai simbol
perpaduan, kestabilan dan kesinambungan sejarah negara.
Oleh itu, sebarang kritikan terhadap institusi ini menuntut kebijaksanaan, fakta dan adab yang
tinggi agar tidak mengundang perpecahan dalam masyarakat.
Tindakan aktivis grafik Fahmi Reza yang sekali lagi mencipta kontroversi dengan menyentuh
institusi diraja melibatkan Tengku Mahkota Johor (TMJ), menimbulkan persoalan besar tentang
hala tuju sebenar aktivisme yang dibawanya.
Kritikan yang dilontarkan dalam bentuk sindiran keras dan provokatif bukan sahaja gagal
membuka ruang dialog sihat, malah dilihat cenderung mencabar sensitiviti rakyat terhadap
institusi yang dilindungi Perlembagaan.
Lebih membimbangkan, pendekatan Fahmi Reza selama ini kelihatan bersifat selective target.
Umum dapat melihat pola yang sama di mana kritikan dan sindiran beliau sering tertumpu
kepada tokoh, institusi atau figura tertentu sahaja, sedangkan terdapat banyak lagi pihak
berkuasa, elit politik, tokoh korporat dan struktur kuasa lain yang juga wajar dipersoalkan secara
terbuka tetapi jarang disentuh atau dijadikan bahan.
Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa aktivisme yang dibawa tidak lagi neutral, sebaliknya
terpilih dan bersifat kecenderungan.
TMJ sebagai figura awam dan sebahagian daripada institusi diraja Johor tidak kebal daripada
teguran, namun sebarang persoalan seharusnya dibuat secara berfakta dan bertanggungjawab.
Melabel atau membina naratif seolah olah golongan istana bertindak sesuka hati tanpa had
undang undang, tanpa hujah yang sah dan bukti kukuh, adalah tidak adil serta berpotensi
mengelirukan masyarakat awam.
Aktivisme yang matang bertujuan mendidik dan memperbaiki, bukan membakar sentimen atau
mengheret masyarakat ke dalam kebencian terhadap simbol negara.
Apabila kritikan dibuat secara berpilih dan hanya mensasarkan pihak tertentu, ia bukan lagi
perjuangan rakyat secara menyeluruh, tetapi berisiko menjadi alat persepsi dan pengaruh.
Keberanian sebenar aktivis diuji apabila dia sanggup berlaku adil dalam sasaran, konsisten
dalam prinsip dan berani menegur semua pihak tanpa mengira kedudukan.Sebagai aktivis masyarakat, kita wajib menuntut kebebasan bersuara yang beradab dan
seimbang.
Institusi diraja perlu dihormati, dan pada masa yang sama sebarang kritikan mesti berpaksikan
fakta, niat islah dan keadilan.
Negara ini tidak kekurangan suara lantang, tetapi amat memerlukan aktivisme yang jujur,
konsisten dan bertanggungjawab demi keharmonian serta kestabilan jangka panjang.
M.Ridzal- AKTIVIS
