Saripudin (kiri) mewakili Suryady ketika bertemu dengan pengurusan Felda Umas dan Ketua Kampung.
KALABAKAN: Masalah bekalan air dan elektrik di Felda Umas yang menjejaskan lebih 6,000 penduduk memerlukan tindakan segera daripada pengurusan Felda dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menerusi Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim berkata, gangguan bekalan air yang sudah berlanjutan sehingga lima hari memberi kesan besar kepada kehidupan seharian penduduk.
Menurutnya, masalah bekalan air itu bukan isu baharu, malah rancangan pembinaan loji baharu perlu disegerakan memandangkan loji sedia ada sudah beroperasi melebihi kapasiti.
“Keadaan bertambah buruk apabila berlaku kerosakan dan kontraktor enggan membaiki loji kerana isu kelewatan bayaran kerja terdahulu.
“Isu sebegini tidak sepatutnya dibiarkan kerana ia melibatkan keperluan asas lebih 6,000 penduduk,” katanya ketika pertemuan dengan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Umas dan Ketua Kampung, hari ini.
Beliau berkata, gangguan bekalan air turut menjejaskan sebuah sekolah menengah, sebuah sekolah rendah, dua taman asuhan kanak-kanak, klinik kesihatan serta aktiviti perniagaan penduduk di kawasan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar itu.
Mengulas isu elektrik, beliau berkata penyelesaian paling hampir adalah dengan menggantikan set janakuasa (genset) lama yang sudah berusia lebih 20 tahun kepada genset baharu, berikutan kapasiti sedia ada tidak lagi mampu menampung pertambahan penduduk dan premis.
“Anggaran kos pembelian genset baharu sekitar RM1.2 juta dan dengan peruntukan antara RM1.5 hingga RM2 juta, masalah elektrik dapat diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.
Menurutnya, mendapatkan bekalan elektrik terus daripada Sabah Electricity memerlukan proses yang panjang termasuk kajian teknikal dan pembinaan pencawang, justeru ia lebih sesuai sebagai perancangan jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Parlimen Kalabakan akan membuat tindakan susulan dengan mengemukakan usul kepada pengurusan tertinggi FELDA bagi memastikan isu air dan elektrik di Felda Umas ditangani segera sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
“Tidak wajar menjelang Ramadan dan Aidilfitri, penduduk berdepan masalah bekalan asas tanpa persediaan kecemasan. “Felda Umas merupakan kawasan berpenghasilan dan mempunyai kemampuan, namun pengurusan perlu memberi perhatian lebih serius,” katanya.
