oleh Bazli Razak
MANJUNG: Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) perlu terus diperkasakan sebagai platform memelihara warisan seni dan budaya, sekali gus memperkukuh jati diri bangsa serta membina masyarakat yang saling memahami dalam kepelbagaian budaya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata pembangunan sesebuah negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan ekonomi dan keuntungan material semata-mata, sebaliknya turut bergantung pada kekuatan identiti, nilai kemanusiaan dan warisan budayanya.
Beliau berkata tanpa penghayatan terhadap budaya dan warisan, sesebuah masyarakat berisiko kehilangan jati diri meskipun mencapai kemajuan dari segi ekonomi dan teknologi.
“Negara itu terbentuk oleh sesebuah bangsa dan masyarakat yang mendiami negara berkenaan. Jika negara itu tidak mempunyai identiti, ciri, budaya dan warisannya, negara itu akan dianggap sebagai sebuah negara yang tandus dari segi budaya,” katanya ketika merasmikan pembukaan PULARA 2026 di Dataran MADANI Seri Manjung hari ini.
Beliau berkata puisi dan lagu rakyat bukan sekadar bentuk hiburan, malah mencerminkan pemikiran, perasaan dan nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya tidak melupakan akar budaya sendiri dalam menghadapi perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), yang semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat.
Beliau turut berharap PULARA dapat diperluas ke luar Manjung, termasuk ke Kuala Lumpur dan pentas antarabangsa, bagi memperkenalkan keunikan seni serta budaya Malaysia kepada masyarakat dunia.
“Pendekatan penganjuran PULARA 2026 yang membawa peserta turun ke kampung dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat sebagai satu inisiatif kreatif yang mampu memberikan pengalaman bermakna kepada peserta tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.
Pada majlis sama, Zambry menyempurnakan pelantikan empat Ketua Kampung PULARA 2026, bertujuan menghidupkan tradisi kepimpinan masyarakat kampung sebagai lambang penyatuan, penjagaan adat dan kesinambungan warisan budaya.
Majlis turut menyaksikan peluncuran Program Bakti MADANI Mega Titian Budaya, yang merangkumi penyerahan anak angkat antarabangsa kepada keluarga angkat di Kampung Baru Lumut dan Kampung Telaga Nenas di daerah Manjung.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata lebih 20,000 pengunjung dijangka menghadiri PULARA 2026, yang turut melibatkan penyertaan lebih 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta lebih 100 pelajar antarabangsa dari 25 negara.
Beliau berkata penganjuran edisi ke-12 festival itu turut memperkenalkan pendekatan baharu dengan membawa pelbagai aktiviti seni, budaya dan kemasyarakatan ke kawasan kampung menerusi 20 program PULARA Masuk Kampung yang dikendalikan Majlis Kesukarelawanan Universiti Awam (MASKUM).
“Sebanyak 17 program utama turut dirancang, merangkumi aktiviti seni dan budaya, kemasyarakatan serta pemindahan ilmu, bagi memastikan manfaat penganjuran festival itu dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat setempat,” katanya.
