KOTA KINABALU: Kepelbagaian seni dan budaya warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk memperkukuh perpaduan serta membina identiti nasional yang lebih kukuh.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kepelbagaian etnik, bahasa, tarian, makanan, pakaian tradisional dan adat resam merupakan keunikan negara yang wajar diraikan sebagai aset penyatuan rakyat.
Menurutnya, perbezaan budaya bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kelebihan yang mampu mendekatkan masyarakat melalui sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Katanya, usaha memupuk literasi rentas etnik perlu diperkasakan dengan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Perasmian Pesta Seni 2026 bertemakan ‘Tradition in Tune’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam Sabtu.
Aaron berkata, keunikan warisan budaya di Sabah dan Sarawak turut memperlihatkan kekayaan identiti masyarakat Borneo yang mampu menjadi contoh kepada keharmonian dalam kepelbagaian.
Beliau mengambil contoh persembahan kebudayaan pada malam berkenaan yang menampilkan tarian etnik Sarawak dengan penari mengenakan busana tradisional etnik Sabah sebagai gambaran hubungan budaya antara kedua-dua negeri.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM), Jawed Khan berkata, penganjuran Pesta Seni 2026 memberi penekanan kepada usaha menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Katanya, semangat saling menghormati perbezaan perlu terus disemai dalam kalangan generasi muda bagi memastikan keharmonian masyarakat dapat dikekalkan pada masa hadapan.
Pesta Seni 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran dan jualan kraftangan, pakaian tradisional, makanan warisan, manik perhiasan serta produk mutiara- DAKWAT RAKYAT POST.
