KUNAK: Dua lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemerdagangan hidupan liar apabila dua ekor tenggiling hidup ditemui dalam sebuah kenderaan di Kampung Simpang Empat, di sini, Rabu lalu.
Tangkapan itu dibuat menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Bersepadu Khazanah) yang dijalankan oleh pasukan Risikan dan Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).
Menurut kenyataan PGA Kunak, pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang dinaiki kedua-dua suspek menemui dua guni yang diikat dengan tali.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua guni berkenaan mengandungi dua ekor tenggiling hidup yang dipercayai untuk tujuan penjualan haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudian ditahan sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM16,400.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa menegaskan pemantauan serta risikan terhadap aktiviti penjualan hidupan liar eksotik akan terus dipergiatkan melalui kerjasama bersepadu pelbagai agensi.
Langkah itu bagi membanteras sebarang aktiviti haram berkaitan hidupan liar dalam kawasan tanggungjawab Batalion 22 PGA Kunak
