LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki di Kilometer 13, Jalan SMK Segama, di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerahkan ke lokasi kejadian, kira-kira 13 kilometer dari balai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1.12 pagi dan mendapati tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan yang terjatuh ke dalam gaung.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit. Ketiga-tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa naik ke jalan raya menggunakan tali dan pengusung sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan sembilan anggota bomba bersama dua jentera serta turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.17 pagi selepas pasukan penyelamat memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat.
