KOTA KINABALU – Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah bin Malik Aman, menegaskan isu ladang ternakan babi di Selangor tidak wajar dijadikan alasan untuk menghina agama Islam atau mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, apatah lagi apabila sentimen tersebut mula menular ke Borneo.
Menurut beliau, kebelakangan ini muncul kenyataan di media sosial oleh sebuah akaun bernama Mullin Igah, yang dipercayai berasal dari Sarawak, yang secara terbuka membuat kenyataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam dengan mengaitkannya dengan babi. Tindakan itu disifatkan sebagai melampaui batas dan mencabar keharmonian masyarakat berbilang agama di Malaysia.
“Ini bukan lagi isu pentadbiran atau polisi penternakan. Bila sudah sampai tahap menghina agama Islam secara terbuka, ini satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan bahawa sahabat-sahabat daripada Sarawak telah tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan tersebut, sebagai langkah mempertahankan keharmonian serta menghentikan normalisasi penghinaan agama di ruang awam dan media sosial.
“Tindakan membuat laporan polis ini adalah wajar. Ia bukan soal membalas dendam, tetapi soal mempertahankan prinsip, adab dan keharmonian negara,” tegasnya.
Kefayatullah turut menggesa pihak berkuasa dan agensi berkaitan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghina agama atau mengganggu kestabilan masyarakat dengan memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
“Undang-undang wujud untuk menjaga ketenteraman awam. Jangan beri ruang kepada mana-mana pihak yang sengaja menghina agama atau mengapi-apikan sentimen perkauman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sabah dan Sarawak selama ini menjadi contoh terbaik keharmonian antara kaum dan agama, dan sentimen kebencian tidak seharusnya dibawa atau disemai di Borneo.
“Borneo bukan medan politik kebencian. Di sini, masyarakat hidup dengan saling menghormati. Jangan heret budaya menghina agama ke tanah yang aman ini,” katanya.
Beliau menutup kenyataan dengan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih berhemah dalam berkomunikasi, khususnya di media sosial, serta tidak mempolitikkan isu agama demi kepentingan sempit.
“Berbeza pandangan itu normal. Menghina agama bukan hak. Jaga adab, jaga keharmonian, dan jangan sentuh isu 3R sesuka hati,” katanya.
