LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menahan empat individu dalam tiga kes berasingan melibatkan kesalahan memiliki dadah disyaki syabu, menerusi Operasi Tapis yang dijalankan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, semua tangkapan dibuat hasil maklumat awam dan risikan polis di beberapa lokasi berasingan sekitar kawasan Silam, Reno Fajar dan Kampung Tengah Nipah.
“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas dadah disyaki syabu dan semua kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, dua daripada individu yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine hasil ujian saringan awal.
Beliau menegaskan, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Orang awam turut digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu pihak polis membanteras jenayah berkenaan.
