TAWAU, 7 Feb — Sebuah rumah jenis kekal di kawasan Sawit Kinabalu Biotech, Jalan Maktab Tawau, musnah kira kira 90 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.25 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba yang melibatkan 19 anggota tiba di lokasi kira kira jam 4.58 pagi selepas menempuh jarak sekitar 37 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Sulaiman Haji Md Salleh melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira kira 80 x 40 kaki persegi yang terbakar hampir keseluruhannya.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 300 kaki, dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta bantuan Water Tanker.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.36 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.03 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia.
