SANDAKAN, 7 Februari 2026
Seramai 14 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Sandakan yang dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 5 Februari lalu, melibatkan kes pendatang asing tanpa izin (PATI), narkotik serta pelbagai kesalahan lain.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata, daripada jumlah itu, 13 lelaki dan wanita dewasa diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang lagi lelaki tempatan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), serta jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Operasi dilaksanakan di sekitar kawasan bandar Sandakan, penempatan koloni setinggan, pinggir bandar serta kampung yang dikenal pasti, selain turut memfokuskan laluan ketirisan berhampiran sempadan daratan dan perairan daerah berkenaan.
Dalam operasi sama, Sabah Electricity melaksanakan pemotongan sambungan elektrik haram yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM310,000 di bawah Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Jabatan Air Sabah (JAS) pula menguatkuasakan tindakan terhadap sambungan paip air haram dengan anggaran kerugian sebanyak RM27,215 di bawah Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.
Selain itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sandakan mengeluarkan 137 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM5,316.46 serta mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM1,200 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pula merampas peralatan penjaja tidak berlesen bernilai RM500 serta rokok tidak bercukai dianggarkan RM5,898 di sekitar kawasan pasar.
Menurut Victor, operasi tersebut bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, penyusupan PATI dan kesalahan lain.
“Sejajar dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, agensi ini akan memastikan ancaman pencerobohan kumpulan anasir asing dapat dikekang serta menjamin keselamatan Sabah Timur kekal selamat dan terkawal,” katanya.
Operasi itu melibatkan seramai 212 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone diminta menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp di talian 011-63311072.
