LAHAD DATU: Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini menjatuhkan hukuman denda terhadap lima individu selepas didapati bersalah atas kesalahan merokok di kawasan larangan, membabitkan pelanggaran di bawah Perkara 16(2), Akta 852.
Kes-kes tersebut disebut di hadapan Majistret Tuan Nur Asyraf bin Zolhani, dengan pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, PPKP Mohd. Hanif bin Jaafar dalam prosiding berkaitan kesihatan awam.
Mahkamah dimaklumkan bahawa kesemua tertuduh dituduh merokok di kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, hasil penguatkuasaan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Lahad Datu.
Berdasarkan fakta kes dan peruntukan undang-undang yang terpakai, mahkamah mensabitkan kesemua individu berkenaan dan menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap kes, atau penjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda.
Kesalahan di bawah Akta 852 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Keputusan mahkamah ini mencerminkan ketegasan pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang kesihatan awam serta usaha berterusan melindungi orang awam daripada pendedahan kepada asap rokok di kawasan larangan.
