LAHAD DATU: Di saat umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, seorang balu yang membesarkan tiga orang anak diuji dengan masalah kesihatan apabila kini terlantar akibat tumor di kepala selepas berjuang melawan kanser payu dara.
Prihatin dengan nasib menimpa Rahimah Abd Rahman, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N61 Segama, Yusleena Mohd Yusof, bersama kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) telah menziarahi beliau di kediamannya di Kampung Muhibbah, baru-baru ini.
Menurut Yusleena, pihaknya turut menyampaikan sebuah katil pesakit sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri menerusi program Homeward Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu meringankan beban pesakit terlantar.
“Program ini bertujuan menyantuni dan membantu golongan memerlukan, khususnya pesakit yang memerlukan kemudahan penjagaan di rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Lahad Datu, Shairol bin Sari, bersama kakitangan atas usaha menyediakan kemudahan katil hospital kepada penduduk di kawasan DUN Segama.
Dalam pada itu, Yusleena berharap agar Rahimah diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian serta dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesembuhan.
“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi keselesaan kepada beliau serta keluarganya dalam menjalani kehidupan seharian,” tambahnya.
