REMAN: Semua 74 suspek disambung tempoh reman selepas prosiding di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
TAWAU: Seramai 74 warga China disambung reman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan kes sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di sebuah resort, minggu lalu.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret, Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Siti Dayana Adillah.
Dalam prosiding berkenaan, mahkamah membenarkan 57 suspek direman selama dua hari, manakala 17 lagi direman selama tiga hari bermula hari ini.
Semua suspek berusia antara 17 hingga 46 tahun itu sebelum ini direman, namun tempohnya tamat hari ini.
Mahkamah turut membenarkan suspek yang mempunyai masalah kesihatan dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut, selain membenarkan mereka membuat laporan polis sekiranya mendakwa dikasari ketika dalam tahanan reman.
Selain itu, semua suspek turut dibenarkan mendapatkan khidmat peguam serta berhubung dengan ahli keluarga masing-masing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, seramai 80 individu ditahan dalam operasi kira-kira jam 9.20 malam pada 7 April lalu, membabitkan 78 warga China termasuk empat wanita, serta masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos.
Bagaimanapun, enam daripada mereka termasuk seorang warga Laos telah dibebaskan, namun masih diperlukan untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan.
Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Tawau, Sandakan dan Keningau.
Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi dan panggilan.
Sindiket terbabit juga dipercayai menyamar sebagai anggota polis dari China bagi memperdaya mangsa, khususnya warga Amerika Syarikat berketurunan Cina.
Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, pasport, modem serta pakaian seragam polis China.
