TAWAU: Kegiatan penyelewengan minyak diesel berjaya ditumpaskan selepas serbuan yang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau di sebuah gudang di Jalan Sin San, di sini, pada Khamis.
Serbuan itu dilakukan susulan maklumat orang awam mengenai aktiviti penyeludupan yang dipercayai berlaku di kawasan berkenaan.
Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan risikan PPM telah mengekori sebuah lori 21 tan jenama Nissan yang mencurigakan sebelum kenderaan itu dilihat memasuki sebuah gudang tertutup di kawasan tersebut.
Pasukan PPM Tawau kemudian melancarkan serbuan ke atas premis berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah sedang dijalankan.
Pemeriksaan lanjut turut menemui tiga buah lori, tiga unit skid tank serta 10 tong drum yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan bahan bakar berkenaan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa berjaya merampas kira kira 30,800 liter minyak diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,165,320.00.
Seorang lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan kawalan.
Menurut beliau, tindakan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.
