KUNAK, 18 April 2026 – Kira-kira 80 resort di daerah Semporna yang masih belum berdaftar dan tidak memohon lesen pelancongan berdepan kemungkinan dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk diroboh, sekiranya didapati melanggar undang-undang sedia ada.Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Shamsureezal Mohd Sainal berkata, tindakan tegas itu akan dilaksanakan selepas tempoh bertenang yang diberikan sebelum ini tamat.Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin.Katanya, setakat ini sebanyak 190 resort telah dikenal pasti beroperasi di seluruh Semporna.“Daripada jumlah itu, hanya 46 resort telah memiliki lesen sah. Sebanyak 62 lagi sedang dalam proses permohonan, manakala lebih kurang 80 resort masih belum mengemukakan sebarang permohonan,” katanya.Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi mengesan resort dan syarikat yang masih belum berdaftar di bawah peraturan pelancongan.Dalam masa sama, Dr Andi Shamsureezal menyeru pengusaha yang masih belum memohon lesen supaya segera tampil berbuat demikian bagi memastikan operasi mereka sah di sisi undang-undang.“Tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan kesalahan yang dilakukan. Jika melibatkan kesalahan tanah, tindakan akan diambil mengikut undang-undang tanah termasuk kemungkinan pengusiran atau perobohan. Begitu juga jika melibatkan kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), tindakan seperti kompaun atau perobohan boleh dikenakan,” jelasnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kem STEM Hijau 2026 Daerah Kunak di Tasik Impian, pada Sabtu.
