SANDAKAN: Hari Anzac bukan sahaja menjadi penghormatan kepada tawanan perang yang menderita dan terkorban semasa Perang Dunia Kedua, malah turut mengiktiraf peranan penduduk tempatan Sabah yang membantu dalam keadaan serba berbahaya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, hubungan antara Australia, Britain dan Malaysia terbina bukan sahaja melalui konflik, tetapi juga melalui nilai kemanusiaan dan belas ihsan yang kekal sehingga kini.
“Warisan mereka yang menderita di Sandakan tidak dapat dipisahkan daripada warisan mereka yang membantu mereka untuk terus hidup, walaupun hanya untuk tempoh yang singkat,” katanya pada Upacara Subuh Hari Anzac di Taman Peringatan Sandakan di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.
Hajiji berkata, ribuan tawanan perang Australia dan Britain telah melalui penderitaan amat kejam di kem-kem tahanan di seluruh Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua, termasuk di Sandakan.
Katanya, kem di Sandakan dan Ranau menjadi simbol penderitaan akibat kekejaman seperti layanan zalim, kebuluran, buruh paksa serta perarakan maut yang meragut hampir semua nyawa tahanan.
Namun begitu, beliau berkata, nilai kemanusiaan tetap wujud apabila penduduk kampung bersama keluarga mereka sanggup mempertaruhkan nyawa untuk membantu tawanan perang walaupun berdepan risiko hukuman berat.
“Kita mengenang dengan penuh bangga keberanian penduduk tempatan yang mengambil risiko tersebut untuk memberi perlindungan dan penjagaan. Setiap tawanan yang terselamat berhutang nyawa kepada mereka yang melindungi dan menyokong sehingga peluang untuk diselamatkan menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan membantu tawanan itu boleh dikenakan hukuman berat termasuk pukulan atau kematian, namun penduduk kampung tetap melakukannya kerana ia adalah perkara yang betul.
Menurutnya, keberanian itu membuktikan setiap individu mampu membawa perubahan walaupun dalam keadaan paling sukar.
“Hari ini, kita menghormati jasa dan pengorbanan mereka yang menjadi tawanan perang di sini. Sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan menjadi sinar harapan dalam tempoh yang amat perit,” katanya.
