SHAFIE
SEMPORNA: Tindakan merobohkan kira-kira 80 resort tidak berdaftar di daerah ini tidak wajar dilaksanakan secara tergesa-gesa sebaliknya perlu diberi ruang kepada pengusaha untuk mematuhi peraturan dan mendapatkan lesen sah.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pendekatan lebih berhemah perlu diambil bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan serta ekonomi setempat tidak terjejas.
“Jangan terus tutup atau roboh. Beri mereka peluang kerana ada yang sudah lama memohon, cuma belum diluluskan.
“Kita perlu bantu percepatkan proses permohonan supaya mereka boleh beroperasi secara sah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Malam Citra Warna dan Majlis Penutupan Jubli Perak 25 Tahun SMK Tagasan, di sini, malam tadi.
Terdahulu pada 18 April lalu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Shamsureezal Mohd Sainal memaklumkan kira-kira 80 resort di Semporna yang masih belum berdaftar berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk dirobohkan sekiranya melanggar undang-undang.
Menurutnya, tindakan itu akan dilaksanakan selepas tempoh bertenang tamat berdasarkan keputusan mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 190 resort dikenal pasti di seluruh Semporna dengan hanya 46 memiliki lesen sah, manakala 62 lagi dalam proses permohonan dan selebihnya belum mengemukakan sebarang permohonan.
Mengulas lanjut, Shafie berkata, sektor pelancongan adalah antara penyumbang penting ekonomi negara dan Semporna khususnya, justeru sebarang tindakan perlu mengambil kira kesan kepada industri berkenaan.
“Kalau semua ini dirobohkan, di mana pelancong hendak tinggal? Ini akan beri kesan besar kepada pengusaha dan ekonomi tempatan.
“Pelancongan ini antara penyumbang utama kepada pendapatan negara, jadi kita perlu pelihara sektor ini,” katanya.
Beliau berkata, kekurangan kemudahan penginapan di Semporna juga boleh menyebabkan pelancong terpaksa menginap di kawasan lain seperti Tawau atau Lahad Datu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mempermudah urusan permohonan lesen selain memberi tempoh serta amaran kepada pengusaha untuk mematuhi syarat ditetapkan.
“Permudahkan proses, beri sedikit kelonggaran dan bimbing mereka supaya dapat beroperasi secara sah.
“Pendekatan ini lebih baik berbanding tindakan drastik yang boleh menjejaskan banyak pihak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan membawa isu berkenaan ke Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik.
