ANDI SURYADY
TAWAU: Satu pelan menyeluruh khusus bagi perkampungan atas air di Sabah perlu diwujudkan segera bagi mengelak tragedi kebakaran besar terus berulang.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, kejadian kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi Sandakan, Pada Ahad, wajar dijadikan pengajaran serius memandangkan masih banyak penempatan seumpama itu di negeri ini.
Katanya, pelan berkenaan perlu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, kemudahan kecemasan dan kesiapsiagaan penduduk supaya risiko bencana dapat dikurangkan.
“Dalam konteks Kampung Bahagia ini, sudah sampai masanya untuk kita ada satu perancangan berkenaan rumah-rumah atas air. Di Sabah ini terlalu banyak rumah atas air.
“Saya ambil contoh dalam kawasan Parlimen saya sendiri, saya pun berasa bimbang sekiranya kejadian yang sama juga berlaku di kawasan saya. Perlu ada satu perancangan kolektif dilakukan untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Baca Bersama 10 Minit anjuran Perpustakaan Sabah Cawangan Tawau dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), di sini, semalam.
Andi Suryady berkata, persediaan itu perlu dibuat lebih awal dan tidak hanya bergantung kepada tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku.
“Dalam erti kata, perancangan kolektif itu mesti melibatkan dari segi pili bomba, ketersediaan kemudahan, persiapan penduduk-penduduk kampung sekiranya berlaku kebakaran.
“Kalau tidak berlaku satu persiapan untuk masa depan, benda yang sama akan berlaku juga di tempat lain. Ini membabitkan kemusnahan harta benda dan dari segi kesan psikologi pun agak berat,” katanya.
Jelasnya, tragedi seumpama itu turut memberi kesan besar kepada perancangan pembangunan apabila peruntukan kerajaan terpaksa disalurkan untuk bantuan dan pemulihan.
“Belanjawan yang sepatutnya kita buat untuk pembangunan jalan, sekolah dan sebagainya terpaksa kita atur untuk kemusnahan harta benda ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pentingnya libat urus berterusan antara penduduk dan agensi keselamatan seperti bomba supaya tahap kesedaran dapat dipertingkat selain memastikan kemudahan ketika kecemasan tidak dihalang atau ditimbus.
“Dalam pelan transformasi ini kena pemakluman, mungkin sesi libat urus antara penduduk dan agensi keselamatan tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat.
“Kadang-kadang apabila sudah terlalu selesa dan bencana itu tidak berlaku menyebabkan mereka beranggapan ia tidak perlu (kemudahan kecemasan), sedangkan benda ini wajar dan perlu,” katanya.
