SANDAKAN: Nasib mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi yang terjejas dalam kejadian kebakaran besar awal pagi Ahad terus mendapat perhatian pelbagai pihak.Terbaharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil menghulurkan bantuan awal berupa 25 jenis barangan keperluan harian bagi meringankan beban mangsa yang kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS).Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, bantuan itu merupakan tanda keprihatinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hassan yang segera mengarahkan penyaluran bantuan sebaik dimaklumkan mengenai bencana berkenaan.“Bantuan awal ini tanda keprihatinan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Agama apabila mendengar tentang bencana itu dan telah mengarahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk memberikan bantuan sewajarnya,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Sumbangan Tabung Musaadah JAKIM bersama Yayasan Waqaf Malaysia kepada mangsa di PPS PPR Batu Sapi.Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Tabung Musaadah, iaitu inisiatif bersama antara JAKIM dan Yayasan Waqaf Malaysia yang diwujudkan khusus bagi membantu masyarakat ketika berlakunya bencana.“Tabung ini membolehkan bantuan disalurkan dengan segera kepada mereka yang terjejas, sama ada akibat kebakaran, banjir atau lain-lain musibah,” katanya.Dalam pada itu, mangsa yang ditemui melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan JAKIM yang tampil membantu di saat mereka amat memerlukan.Seorang mangsa, Shariff Al-Fishar Abdullah berkata, sumbangan yang diberikan amat bermakna dalam membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.“Saya amat menghargai sumbangan yang diberi oleh pihak JAKIM kerana bantuan itu amat diperlukan sekarang,” katanya.Seorang lagi mangsa, Nurfarisya Yasser turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil membantu.“Terima kasih kepada pihak JAKIM kerana memberi sumbangan kepada kami yang sedang berduka,” ujarnya.Kebakaran yang berlaku sebelum ini memusnahkan beberapa rumah di kampung berkenaan, sekali gus menyebabkan penduduk hilang tempat tinggal dan kini bergantung kepada bantuan serta sokongan pelbagai pihak. – Dakwat Rakyat Post
