KINABATANGAN: Faktor geografi yang mencabar menyebabkan beberapa kampung di kawasan kepulauan di Sabah sukar diakses, sekali gus menyukarkan penduduk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
Sehubungan itu, Pejabat Daerah Kinabatangan telah melaksanakan program jelajah lawatan bersepadu bersama pelbagai agensi ke beberapa pulau di kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau selama tiga hari dua malam.
Program itu bertujuan mengumpul data lapangan, meneliti serta menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi penduduk selain menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan.
Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaimi Ejip berkata, kawasan Parlimen Kinabatangan khususnya di pesisir pantai dan gugusan pulau di DUN Sukau berdepan cabaran besar dari segi akses.
Menurut beliau, kebanyakan penduduk perlu menggunakan bot untuk ke Pejabat Daerah Kinabatangan atau Pejabat Daerah Kecil Sukau, yang mengambil masa serta kos tinggi, sedangkan majoriti penduduk terdiri daripada golongan B40.
Antara agensi terlibat ialah Pejabat Daerah Kecil Sukau, Jabatan Pendaftaran Negara, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Perbadanan Baitulmal Sabah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sepanjang lawatan, setiap agensi membuka kaunter bagi membolehkan penduduk membuat aduan, pendaftaran serta mendapatkan perkhidmatan terus termasuk isu dokumen diri oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Sukau, Samry Sher berkata antara isu utama dikenal pasti ialah kesukaran penduduk mendaftar dalam sistem e-Kasih serta masalah ketiadaan dokumen penting seperti sijil kelahiran dan sijil pernikahan.
Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan sumbangan kepada empat masjid di sekitar Kinabatangan dengan masing-masing menerima RM3,000.
Ketua Kampung Mumiang, Sabarudin Undut berharap kerajaan dapat membantu menyediakan kemudahan asas terutama bekalan air bersih yang masih belum dinikmati penduduk.
Seorang penduduk, Mani Uto menyifatkan program itu mampu meringankan beban masyarakat kampung khususnya di zon Lubukan yang merangkumi tujuh kampung dalam daerah mengundi berkenaan.
Program ini dilihat mampu merapatkan jurang perkhidmatan antara kerajaan dan rakyat di kawasan pedalaman serta pesisir pantai, selain memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan.
