Nizam bergambar bersama penganjur dan para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.
TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) menyuarakan hasrat agar Sabah kembali menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2032 sebagai usaha memperkukuh pembangunan sukan negeri serta menaik taraf kemudahan sukan sedia ada.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu telah dibincangkan secara tidak rasmi dan akan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri Sabah bagi mendapatkan sokongan rasmi kerajaan negeri.
Menurutnya, Sabah sebelum ini pernah menjadi tuan rumah SUKMA dan kini bersedia untuk sekali lagi menganjurkan temasya sukan berprestij itu pada masa akan datang.
“Kita telah menyuarakan hasrat ini secara tidak rasmi dan akan bawa ke Kabinet Negeri Sabah untuk mendapatkan sokongan padu kerajaan negeri.
“Ini penting bagi memastikan Sabah bersedia dari segi prasarana, pengurusan dan pembangunan atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Remaja Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-55 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha menaik taraf kompleks sukan di seluruh negeri sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kemudahan berada pada tahap terbaik dan berkualiti.
Menurutnya, lawatan ke beberapa kompleks sukan di Sabah turut dilakukan bagi menilai sendiri keadaan fasiliti sedia ada sebelum sebarang penganjuran besar dipertimbangkan.
“Kita mahu pastikan semua fasiliti berada dalam keadaan baik sebelum kita bersedia menjadi tuan rumah SUKMA atau kejohanan berskala besar,” katanya.
Mengulas penganjuran kejohanan bola keranjang itu, Nizam berkata ia bukan sahaja menggalakkan penyertaan belia dalam sukan berkenaan, malah menjadi platform mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut mencadangkan agar persatuan sukan di negeri ini memperkukuh struktur latihan dan penganjuran liga secara lebih sistematik bagi melahirkan atlet berkualiti.
“Kita lihat negeri seperti Selangor dan Johor mempunyai pendedahan lebih luas termasuk liga negeri yang aktif.
“Sabah juga perlu ke arah itu supaya dapat melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, KBSK akan terus menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi termasuk bola keranjang bagi memastikan lebih ramai atlet berpotensi tinggi dapat dilahirkan di Sabah pada masa akan datang.
