KOTA KINABALU, 28 April 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merancang menganjurkan Persidangan Hakim-hakim Syarie bersama Simposium Perundangan dan Kehakiman pada Ogos ini sebagai platform memperkasa institusi kehakiman syariah di negara ini.
Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM, Dato’ Haji Mohd Amran Mat Zain berkata, kunjungan hormat yang diadakan bertujuan memohon perkenan kepimpinan negeri untuk merasmikan persidangan berkenaan.
Menurut beliau, program itu dijangka menghimpunkan antara 200 hingga 300 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang kehakiman dan perundangan dari seluruh negara.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Mengimbas kembali, beliau berkata pada tahun 2005, Tun Musa yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah pernah merasmikan persidangan pegawai-pegawai syariah seluruh Malaysia di negeri ini.
“Ucapan dan idea yang disampaikan ketika itu memberi kesan besar serta signifikan kepada kami dalam usaha merealisasikan pelbagai pembaharuan dalam sistem kehakiman syariah,” katanya.
Tambah beliau, persidangan kali ini akan menjadi wadah penting untuk memperhalusi idea baharu khususnya dalam usaha mempercepatkan proses pengadilan di Mahkamah Syariah serta memperkukuh keupayaan menangani isu berkaitan umat Islam.
Menurutnya lagi, antara aspirasi utama adalah mengubah persepsi masyarakat terhadap Mahkamah Syariah agar dilihat sebagai institusi penyelesaian, bukan sekadar medan pertikaian.
Beliau turut menegaskan kepentingan sokongan pelbagai agensi dalam memperkasa sistem kehakiman syariah termasuk dari segi prasarana, kemudahan dan akses kepada golongan yang memerlukan.
Persidangan yang dijangka berlangsung sekitar 11 atau 12 Ogos itu juga berpotensi melibatkan penyertaan antarabangsa, sekali gus memperluas jaringan kerjasama serta perkongsian kepakaran dalam bidang perundangan Islam.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kepimpinan negeri sebagai komited dan berpandangan jauh dalam memperkukuh institusi kehakiman syariah termasuk menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.
Persidangan berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi Mahkamah Syariah ke arah sistem yang lebih cekap, inklusif dan berdaya saing selaras dengan keperluan semasa masyarakat.
