SANDAKAN: Isu kemudahan asas untuk penumpang Muslim di Terminal Bas Sandakan kembali menjadi perhatian apabila seorang aktivis masyarakat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan surau dan fasiliti berkaitan yang didakwa tidak memadai.
Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Kefayatullah Malik Aman, yang juga Pengasas TigaSatuTiga Channel berkata, keadaan surau di terminal berkenaan amat mengecewakan dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berwajib.Menurutnya, walaupun surau disediakan di tingkat atas, kemudahan asas seperti tempat mengambil wuduk tidak disediakan.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila tandas di tingkat tersebut didapati ditutup, sekali gus menyulitkan penumpang untuk bersuci sebelum menunaikan solat.“Kipas dalam surau juga tidak berfungsi dan tahap kebersihan sangat mengecewakan. Saya sendiri terpaksa turun ke bawah dan mengambil wuduk di tandas awam, yang jelas bukan keadaan yang sepatutnya berlaku di sebuah terminal utama,” katanya.Dalam masa sama, beliau turut menegur perkhidmatan bas ekspres yang digunakan dari Kota Kinabalu ke Sandakan apabila bas berkenaan berhenti di sebuah premis makanan yang tidak menyediakan kemudahan surau untuk penumpang Muslim.
“Hentian yang dipilih tidak mengambil kira keperluan asas penumpang Islam. Tiada ruang solat disediakan. Ini menunjukkan kurangnya sensitiviti terhadap perkara yang sangat penting dalam agama,” ujarnya.Beliau berkata, situasi sama turut berulang setibanya di Terminal Bas Sandakan, sekali lagi memperlihatkan kekurangan kemudahan untuk menunaikan solat dengan sempurna.
Kefayatullah menegaskan bahawa isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana solat merupakan kewajipan utama umat Islam.“Solat adalah tiang agama. Kemudahan asas seperti tempat wuduk dan surau yang bersih sepatutnya menjadi keutamaan, khususnya di lokasi awam seperti terminal bas,” katanya.
Beliau berharap pihak pengurusan terminal serta agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi menaik taraf kemudahan surau agar lebih bersih, selesa dan berfungsi dengan baik.“Kami mohon agar perkara ini diberi perhatian serius. Penambahbaikan perlu dibuat segera demi menjaga kebajikan dan keperluan umat Islam yang menggunakan kemudahan awam ini,” katanya. – Dakwat Rakyat Post
