SANDAKAN: Dua kejadian kebakaran besar dalam tempoh kurang dua minggu di Sandakan membuka persoalan serius mengenai tahap keselamatan penempatan padat, khususnya di kawasan perkampungan air.
Insiden terbaru di Kampung Bahagia bukan sahaja memusnahkan kediaman penduduk, malah mendedahkan cabaran besar operasi menyelamat apabila pasukan bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian.
Keadaan rumah yang dibina terlalu rapat, laluan sempit serta struktur penempatan di atas air dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang melambatkan usaha pemadaman dan menyelamat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, isu utama bukan semata-mata kekurangan aset, sebaliknya melibatkan kekangan akses dan bekalan air di lokasi kebakaran.Beliau memaklumkan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM19 juta bagi menaik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, termasuk penambahbaikan aset serta keperluan operasi.
Namun menurutnya, cabaran sebenar di lapangan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk kerjasama komuniti.“Isunya bukan aset semata-mata, tetapi laluan untuk sampai ke lokasi dan bekalan air. Ini memerlukan bukan sahaja usaha daripada jabatan dan kementerian, tetapi juga kesedaran serta kerjasama masyarakat,” katanya.
Susulan itu, kementerian kini mengalihkan fokus kepada langkah jangka panjang dengan memperkukuh kesiapsiagaan komuniti di kawasan berisiko tinggi.Antara inisiatif yang dirancang termasuk latihan keselamatan kebakaran bersama Majlis Perbandaran Sandakan serta penambahan pasukan bomba sukarela dalam komuniti setempat.
Dalam masa sama, kerajaan turut memberi perhatian kepada penempatan semula mangsa kebakaran.Sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan perumahan di Sandakan termasuk Program Perumahan Rakyat, dengan kira-kira 70 unit dikenal pasti memerlukan pembaikan segera.
Mangsa kebakaran akan diberi keutamaan untuk ditempatkan di unit sedia ada, selain pilihan melalui residensi PR1MA serta projek perumahan baharu di Elopura yang dijangka siap pada hujung tahun ini.Sebagai langkah sementara, kerajaan dengan kerjasama pihak swasta menyediakan penginapan percuma kepada kira-kira 50 keluarga selama tempoh 28 hari.
Perkembangan ini mencerminkan perubahan pendekatan kerajaan daripada sekadar bantuan kecemasan kepada penyelesaian lebih mampan, dalam usaha mengurangkan risiko kebakaran berulang di kawasan perkampungan air. – DAKWAT RAKYAT POST
