KOTA KINABALU: Isu pembinaan resort tanpa lesen disifatkan sebagai satu pelanggaran serius terhadap undang-undang yang boleh mengancam keselamatan awam serta menjejaskan kepentingan rakyat jika tidak ditangani secara tegas.
Aktivis politik, Atan Leecas berkata, perkara itu tidak wajar dilihat dari sudut emosi atau sentimen politik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai sebagai isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan tanggungjawab kerajaan.
Menurut beliau, setiap pembangunan khususnya melibatkan sektor pelancongan seperti resort wajib melalui proses kelulusan teknikal, perlesenan serta pematuhan kepada garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
“Apabila ada pihak membina tanpa kebenaran, ia menunjukkan tindakan mencabar sistem perundangan negara. Jika dibiarkan, ia akan mewujudkan budaya tidak menghormati undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut menegaskan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi kerana resort tanpa kelulusan teknikal berisiko dari segi struktur bangunan, sistem elektrik, kebakaran serta ancaman bencana laut. Katanya, sekiranya berlaku kemalangan atau tragedi, persoalan mengenai pihak yang perlu bertanggungjawab akan timbul, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan kebimbangan berkaitan kemungkinan pengambilan pekerja tanpa dokumen sah dalam operasi tidak berlesen, yang bukan sahaja melanggar undang-undang imigresen, malah boleh menjejaskan ketenteraman awam. Selain itu, isu perlindungan insurans juga menjadi tanda tanya kerana operasi tanpa lesen berisiko tidak menyediakan jaminan kepada mangsa sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.
Beliau turut mempersoalkan kemungkinan wujud pihak berkepentingan di sebalik operasi resort haram tersebut dan menggesa ketelusan serta penguatkuasaan dipertingkat bagi mengelakkan salah guna kuasa. Tambahnya, tindakan tegas juga penting bagi memastikan keadilan kepada pengusaha yang mematuhi undang-undang agar tidak terjejas akibat persaingan tidak sihat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tindakan merobohkan atau menutup resort tanpa lesen bukanlah satu kezaliman, sebaliknya langkah perlu bagi menegakkan undang-undang serta melindungi keselamatan rakyat.
“Undang-undang tidak boleh dipilih, keselamatan tidak boleh dirunding. Negara perlu tegas demi menjaga nyawa dan kepentingan rakyat,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
