Dari Pena Editor
2 Mei 2026
Penulis ketika sedang bercuti di Sandakan, menikmati keindahan panorama bandar dan lautnya, tiba tiba dikejutkan dengan satu realiti yang cukup membimbangkan. Di sebalik pemandangan yang indah, tersergam beberapa bangunan kedai dan rumah lama yang jelas kelihatan uzur dan berisiko untuk terus didiami.
Sandakan, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi ibu negeri Sabah pada era kolonial dan dikenali sebagai “Little Hong Kong” kerana seni bina bangunannya yang menyerupai kota raya Hong Kong, kini berdepan cabaran berbeza. Identiti sejarahnya masih ada, namun sebahagian fizikalnya semakin dimamah usia.
Persoalannya, sampai bila keadaan ini harus dibiarkan?
Tinjauan penulis mendapati terdapat bangunan yang sudah retak, berlumut, malah ada struktur yang menampakkan besi tetulang keluar dari konkrit. Ini bukan sekadar isu kosmetik, tetapi jelas melibatkan soal keselamatan awam.
Dalam keadaan Sabah yang pernah mengalami gegaran gempa bumi, risiko terhadap bangunan uzur seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Sedikit gegaran sahaja sudah cukup untuk mengundang kemungkinan runtuhan yang boleh meragut nyawa.
Justeru, sudah tiba masanya pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Sandakan mengambil langkah lebih proaktif dengan menjalankan pemantauan dan audit keselamatan secara menyeluruh terhadap bangunan lama di kawasan bandar ini.
Dalam masa yang sama, orang ramai juga perlu memainkan peranan. Peka terhadap keadaan bangunan yang didiami, kenal pasti tanda tanda bahaya, dan segera laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang risiko.
Keselamatan bukan perkara yang boleh dikompromi.
Kita tidak mahu hanya bertindak selepas berlakunya tragedi. Ketika itu, segalanya sudah terlambat.
