KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengambil keputusan merombak struktur parti dengan menjadikan kawasan Parlimen berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai bahagian.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perubahan itu dibuat menerusi pindaan perlembagaan parti yang menyaksikan Gagasan Rakyat mempunyai 26 bahagian baharu berbanding 74 bahagian termasuk Labuan sebelum ini.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, penstrukturan itu penting dalam usaha memperkukuh parti di semua bahagian di samping memastikan bahagian yang kecil dapat disatukan untuk menjadi lebih besar dan kuat selain memastikan kestabilan berterusan kerajaan negeri.
“Sebagai Presiden Parti, saya yakin keputusan ini tepat, perlu dan bertanggungjawab kerana kalau kita mahu parti Gagasan Rakyat terus memimpin, parti kita tidak boleh sekadar kelihatan besar pada nama atau jumlah bahagian yang banyak semata-mata.
“Kita kena pastikan parti kita tersusun rapi, sentiasa bergerak sebagai satu pasukan dan jelas arah perjuangannya,” katanya pada ucaptama Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Ahad.
Menurut Hajiji, sebelum ini Gagasan Rakyat mempunyai 74 bahagian mengikut kawasan DUN termasuk Labuan, namun tidak semua bahagian bergerak pada tahap yang sama.
Katanya, ada bahagian yang sangat aktif dengan jumlah ahli dan cawangan yang besar, namun terdapat juga bahagian yang masih kecil serta belum mencapai tahap kekuatan jentera yang diperlukan.
“Kalau struktur terlalu banyak tetapi kekuatannya tidak seimbang, maka sumber parti akan terpecah terlalu kecil,” katanya.
Beliau berkata, keputusan penstrukturan semula itu dibuat selepas Majlis Tertinggi parti melihat secara menyeluruh realiti politik semasa, kekuatan organisasi, kesiapsiagaan jentera dan tanggungjawab sebagai parti yang memimpin kerajaan negeri.
“Kalau struktur lama tidak lagi memberikan kekuatan yang optimum, maka struktur itu mesti disusun semula.
“Sesebuah parti tidak boleh dipimpin hanya dengan semangat emosi dan perasaan kerana akhirnya parti kita bukan sekadar mahu wujud tetapi mesti cukup kuat untuk bertahan, tersusun untuk bergerak ke hadapan dan cukup bersatu untuk terus memenangi kepercayaan rakyat,” katanya.
Hajiji turut menjelaskan bahawa perubahan struktur daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian Parlimen termasuk Labuan bukan bertujuan menafikan jasa mana-mana pihak, sebaliknya bagi memperkukuh parti.
Katanya, nilai perjuangan ahli tidak terletak pada jawatan atau kedudukan semata-mata tetapi pada kesetiaan dan khidmat kepada parti serta rakyat.
“Jasa dan pengorbanan ahli parti tidak pernah terpadam hanya kerana struktur parti ini diperbaharui kerana nilai sebenar perjuangan tidak terletak pada gelaran atau kedudukan tetapi pada kesetiaan dan khidmat kepada parti serta rakyat,” katanya.
Menurut beliau, Gagasan Rakyat berdiri kukuh hari ini hasil pengorbanan pemimpin dan ahli akar umbi yang bekerja dari kampung ke kampung serta menggunakan tenaga, masa dan wang sendiri demi perjuangan parti.
Katanya, penyusunan semula itu dibuat supaya semua kekuatan yang ada dapat diatur dengan lebih baik demi memastikan parti terus relevan dan kukuh pada masa hadapan. – DAKWAT RAKYAT POST
