KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengingatkan rakan pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai ranjau politik yang dihadapi gabungan itu sejak mula mengambil alih kerajaan negeri pada 2020.
Beliau berkata, ketika itu semua pihak menyedari aspirasi rakyat Sabah yang tidak mahu terus bergantung kepada percaturan pihak luar dalam menentukan masa depan negeri ini.
Menurutnya, Sabah ketika itu memerlukan satu kekuatan tempatan yang mampu bercakap dengan suara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan kepentingan rakyat Sabah dengan lebih berani serta bermaruah.
“Sebab itulah GRS ditubuhkan dan daripada perjuangan itulah lahirnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai tunjang utama untuk memastikan rumah politik Sabah ini terus kukuh, stabil dan dipimpin oleh perjuangan yang berpaksikan rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Ahad.
Bagaimanapun, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, rakyat menyaksikan realiti politik negeri ini apabila terdapat pemimpin yang berubah arah menjelang pilihan raya walaupun sebelum ini lantang memperjuangkan penyatuan parti tempatan Sabah.
Katanya, situasi itu memberi pengajaran besar kepada GRS dan Gagasan Rakyat dalam mencorakkan perjuangan serta masa depan parti khususnya bagi mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.
“Dahulu ada yang paling lantang bercakap tentang Sabah mesti kuat seperti Sarawak, merekalah yang berkobar-kobar menyeru supaya parti-parti tempatan bersatu, bercakap tentang satu hati, tentang maruah politik Sabah dan perjuangan tempatan untuk rakyat Sabah.
“Tapi apabila tiba musim ujian, pilihan raya semakin dekat, kuasa dan kedudukan mula menjadi pertimbangan, di situlah kita nampak warna sebenar perjuangan mereka,” katanya.
Menurut beliau, ada pihak yang memilih untuk keluar daripada perjuangan bersama apabila kepentingan peribadi tidak tercapai, namun GRS tetap menghormati keputusan tersebut tanpa menyimpan dendam.
Katanya, perjuangan sebenar ialah apabila kepentingan peribadi diketepikan demi kestabilan dan kekuatan bersama.
“Kalau benar kita mahu Sabah kuat seperti Sarawak, maka kekuatan itu tidak boleh lahir daripada ego politik yang berpecah-pecah.
“Sebab itu setiap kali ada yang memilih untuk pergi, Gagasan Rakyat tidak boleh menjadi lemah. Sebaliknya kita mesti menjadi lebih kuat, lebih tenang menghadapi cabaran, lebih matang membuat keputusan dan lebih bersatu mempertahankan rumah kita ini,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan pemimpin di negeri ini supaya tidak terlalu sibuk berlumba menjadi siapa paling lokal atau paling hebat bersuara kerana rakyat lebih memerlukan pekerjaan, ekonomi yang baik dan kerajaan yang stabil.
Katanya, rakyat mahu kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah serta menyediakan peluang kepada generasi muda.
“Itulah ukuran politik yang sebenar. Kalau kita terlupa perkara ini, mungkin kita menang di pentas ucapan sahaja tetapi kalah dalam keyakinan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran negeri ketika Sabah berdepan cabaran besar termasuk kesan pandemik Covid-19, keadaan politik tidak menentu dan isu pembangunan yang tertangguh.
Namun katanya, kerajaan memilih untuk bekerja dan menyusun semula keutamaan pentadbiran dengan memberi fokus kepada kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan pembangunan jangka panjang negeri menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita tidak menjanjikan perubahan hanya di pentas ucapan. Kita mula membina perubahan itu melalui dasar, pelaksanaan dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
