SANDAKAN: Program keselamatan industri pelancongan akan diperluaskan di Sabah dalam usaha meningkatkan keyakinan pelancong terhadap aspek keselamatan di destinasi pelancongan negeri ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, aspek keselamatan kini menjadi antara perkara utama yang dinilai pelancong antarabangsa sebelum memilih sesuatu destinasi pelancongan.
Menurut beliau, program Safety Induction for Tourism Industry (SITI) akan diperluaskan ke lebih banyak pusat pelancongan di Sabah bagi memperkukuhkan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam industri pelancongan.
Beliau berkata, pelancong antarabangsa kini semakin memberi perhatian terhadap aspek keselamatan, kebersihan serta pematuhan peraturan di sesuatu kawasan pelancongan.
Khairul Firdaus berkata, Sabah mempunyai pelbagai destinasi ekopelancongan terkenal termasuk di Sandakan seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sungai Kinabatangan, Rainforest Discovery Centre dan Labuk Bay yang memerlukan standard keselamatan yang baik bagi menjamin keyakinan pelancong.
“Pastinya kerana kita tahu para pelancong antarabangsa ini mereka sentiasa melihat aspek keselamatan. Adakah aspek keselamatan terjamin? Kedua, adakah juga peraturan-peraturan yang rapi berkenaan dengan pusat pelancongan itu dari sudut kebersihannya juga, dari sudut pencemarannya juga. Ini pun kita kira sebagai salah satu aspek itu sebabnya SITI ini kita akan perluaskan di setiap pusat pelancongan yang ada di negeri Sabah. Kita tahu banyak pusat pelancongan terutamanya resort-resort ataupun pusat pelancongan tidak mempunyai lesen yang sewajarnya. Itulah salah satu tindakan kita untuk kita mendalami secara jelas apakah sebenarnya punca mereka tidak dapat memenuhi piawaian yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pemerkasaan Kebolehpasaran Belia dan Jalinan Kasih Batu Sapi, kelmarin, program SITI anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Sandakan 2, Christine Stanislaus Kinsik berkata program berkenaan memberi nilai tambah kepada pelajar yang bakal memasuki industri pelancongan.
Menurut beliau, program seperti itu penting dalam membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar selain memberi pendedahan awal mengenai aspek keselamatan dalam industri pelancongan.
“Kami dalam proses ada kerjasama dengan NIOSH dan kita mengharapkan ia akan terus berterusan sebab ini adalah sangat-sangat penting untuk para pelajar. Ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan yang sangat bagus kepada para pelajar saya pada masa-masa akan datang. Jadi, kita mengharapkan program-program seperti ini diteruskan untuk para belia,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
