TONGOD: Daerah pedalaman Tongod dijangka mengalami transformasi besar menerusi cadangan pembangunan sebuah pekan baharu seluas kira-kira 1,000 ekar hasil kerjasama antara kerajaan Sabah dan sektor swasta.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, projek pembangunan itu diyakini mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu sekali gus mengubah landskap pembangunan di kawasan pedalaman negeri ini.
Menurut beliau, pembangunan berkenaan akan dilaksanakan di tanah milik syarikat swasta yang turut menyediakan sebahagian kawasan untuk kegunaan kerajaan negeri.
Katanya, projek itu melibatkan pembinaan bangunan kerajaan, pejabat pentadbiran, kawasan perumahan serta lot komersial yang dijangka menjadi pusat pertumbuhan baharu di Tongod.
“Kerjasama swasta dengan kerajaan ini amat baik kerana pihak syarikat turut membantu menyediakan tanah untuk kegunaan kerajaan.
“Daripada keseluruhan 1,000 ekar tanah milik syarikat, sebanyak 200 ekar akan diserahkan untuk pembangunan kemudahan kerajaan dan pusat pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod yang mula beroperasi awal tahun ini.
Menurut Hajiji, Tongod yang dikenali sebagai “The Heart of Sabah” mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan alam semula jadi kerana kaya dengan khazanah hutan tropika serta biodiversiti unik. Tambah beliau, lokasi pelancongan seperti Imbak Canyon berpotensi menarik lebih ramai pengunjung sekali gus membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan institusi Mahkamah Anak Negeri dalam memelihara keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan menyelesaikan pertikaian adat di Sabah. Katanya, kerajaan negeri akan terus memastikan pembangunan wilayah dilaksanakan secara seimbang termasuk memperluaskan kemudahan asas seperti bekalan air luar bandar demi meningkatkan taraf hidup rakyat di Tongod. – DAKWAT RAKYAT POST
