KOTA KINABALU, 25 Mei 2026 – Dakwaan bahawa Sabah tidak mendapat manfaat daripada Projek SAMUR di Sipitang serta Perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
Aktivis politik, Atan Leecas berkata, naratif yang dimainkan oleh sebuah halaman Facebook pro pembangkang Mawar Channel cuba memanipulasi fakta berkaitan perkembangan industri minyak dan gas di Sabah sejak tahun 2021.
“Naratif ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah sengaja menafikan fakta dan perkembangan sebenar yang berlaku dalam industri minyak dan gas Sabah sejak 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, hasil rundingan strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS telah membawa kepada Sabah memiliki 25 peratus pegangan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PC FSSB), syarikat yang mengendalikan Kompleks Ammonia dan Urea SAMUR di Sipitang.
“Ini bukan retorik politik. Ini pemilikan aset strategik yang sah,” katanya.
Atan berkata, Kompleks SAMUR di Sipitang merupakan antara kompleks ammonia dan urea terbesar di Asia Pasifik dengan kapasiti pengeluaran sekitar 1.9 juta tan metrik setahun.
Beliau menjelaskan bahawa CCA yang dimeterai pada 7 Disember 2021 bertujuan meningkatkan hasil Sabah daripada industri minyak dan gas serta memperluaskan penyertaan negeri dalam rantaian nilai industri berkenaan.
Selepas pelaksanaan CCA, Sabah menurutnya memperoleh 25 peratus pegangan dalam SAMUR, kepentingan dalam projek LNG, penglibatan Sabah Energy Corporation (SEC) dalam aset paip gas hiliran serta peningkatan penyertaan syarikat tempatan dalam sektor O&G.
Katanya, nilai kontrak minyak dan gas kepada syarikat Sabah turut meningkat daripada sekitar RM613 juta kepada hampir RM2 bilion, selain lebih 300 syarikat tempatan berdaftar sebagai vendor PETRONAS.
“Ini bukan propaganda. Ini angka dan fakta rasmi,” katanya.
Mengulas dakwaan pembangkang, beliau berkata pihak berkenaan termasuk MAWAR CHANNEL cuba memainkan sentimen politik tanpa memahami struktur industri petrokimia dan faktor global yang mempengaruhi harga baja.
“Industri petrokimia bukan boleh diurus dengan slogan politik atau ceramah Facebook,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan hasil melalui rundingan strategik dengan PETRONAS berbanding pendekatan konfrontasi politik.
“Rakyat Sabah semakin matang menilai antara pihak yang hanya bermain sentimen dan kerajaan yang membawa Sabah menjadi pemegang saham dalam aset strategik minyak dan gas,” katanya.
Atan berkata, Sabah kini bukan lagi sekadar pengeluar sumber mentah, sebaliknya mula memiliki kepentingan langsung dalam industri strategik negara.
“Ini adalah fakta sebenar yang cuba disembunyikan oleh pembangkang MAWAR CHANNEL,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
