KUALA LUMPUR: Indonesia bersedia membekalkan seramai 15,000 jururawat dari negara itu ke Malaysia, bagi memenuhi krisis kekurangan tenaga kerja terbabit dalam sektor kesihatan negara ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo, berkata negara itu kini menghasilkan kira-kira 65,000 jururawat setiap tahun, sekali gus mempunyai bekalan tenaga kerja itu yang mencukupi untuk dihantar ke sini.
“Indonesia bersedia untuk menghantar berapa pun (jumlah) cuma yang pasti sekarang ini kita mempunyai kira-kira 65,000 jururawat.
“Kita bersedia (jika diperlukan 15,000) untuk memenuhi permintaan Malaysia,” katanya kepada BH dalam temu bual eksklusif sempena lawatannya ke Balai Berita di sini, semalam.
Terdahulu, kehadiran beliau di Balai Berita disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio, Nazri Noran; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima yang juga Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim dan Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil.
Turut sama menyambut Mohammad Iman ialah Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Sharanjit Singh serta pengurusan kanan Editorial BH.
Selain sesi temu bual, Mohammad Iman meluangkan masa hampir dua jam di Balai Berita bagi bertemu pihak pengurusan kanan Media Prima sambil meninjau operasi bersepadu Kumpulan Media Prima Berhad dan studio penyiaran moden, termasuk studio bagi rangkaian televisyen seperti TV3.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata Malaysia mempertimbangkan cadangan Indonesia untuk memperluas penempatan pekerja migran Indonesia (PMI) ke sektor kesihatan, khususnya tenaga kejururawatan.
Mohamad Iman menyatakan perkara itu selepas pertemuan bilateral bersama Menteri Luar Indonesia, Sugiono, ketika menghadiri sidang Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala JCBC Ke-17 di Gedung Pancasila, Kementerian Luar Indonesia, minggu lalu.
Kekosongan 18 peratus
Media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan jurang kritikal dengan kekurangan hampir 15,000 jururawat bertauliah.
Kadar kekosongan kira-kira 18 peratus itu didorong oleh penghijrahan tenaga kerja ke luar negara, peningkatan bebanan tugas dan penuaan populasi.
Pada masa sama, Mohammad Iman berkata, usaha bagi membawa masuk jururawat Indonesia ke sini boleh direalisasikan melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G), dimulakan melalui rundingan di antara Lembaga Jururawat Malaysia dengan Lembaga Jururawat Indonesia.
Beliau berkata, rundingan itu penting bagi menentukan standard yang ditetapkan termasuk kriteria yang diperlukan bagi seseorang jururawat dari Indonesia untuk berkhidmat di sini.
“Setelah standard itu diselaraskan, maka Nursing Board Malaysia (Lembaga Jururawat Malaysia) akan memberitahu kepada KKM beberapa keperluan.
“Selepas itu, KKM akan memberitahu kepada kami di kedutaan atau Kementerian Kesihatan Indonesia supaya kita boleh menyediakan jururawat untuk dikirimkan dan berkhidmat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, usaha sedang dilakukan Indonesia melalui Kementerian Pelindungan Pekerja Migran Indonesia untuk meningkatkan standard jururawat di negara itu.
Katanya, antara pendekatan yang dibuat ialah memastikan jururawat dapat berkhidmat di industri ketika sedang belajar bagi memastikan mereka lebih bersedia ke alam pekerjaan.
“Sekurang-kurangnya mereka tahu keperluan (majikan), ia juga bagi mengelakkan mereka terkejut sekiranya tidak didedahkan dengan alam pekerjaan lebih awal,” katanya.
Beliau menyuarakan keyakinan kemasukan jururawat Indonesia ke sini juga berupaya menarik lebih ramai pelancong dari negara jiran itu dalam aspek pelancongan kesihatan.
Katanya, apatah lagi Malaysia turut menerima jumlah kedatangan pesakit dari Indonesia yang tinggi dan ia sekali gus boleh melonjakkan sektor itu.
Sebelum ini, sebuah analisis mendapati Indonesia menjadi pasaran terbesar bagi pelancongan perubatan Malaysia dengan pesakit dari negara jiran itu menyumbang 64.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong perubatan pada 2023.
Kredit sumber: Berita Harian
