RINA (tiga kanan) menerima cenderakenangan daripada Nor Fahejah sebagai tanda penghargaan pada majlis berkenaan.
KUNAK: Kerajaan Sabah membuka ruang lebih luas kepada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti serta individu berkelayakan untuk menubuhkan pusat autisme di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, langkah itu penting bagi memastikan akses pendidikan serta penjagaan kanak-kanak autisme dapat diperluaskan dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.
Menurutnya, ketika ini pusat autisme dikenali sebagai PAUS semakin mendapat sambutan, terutama di Pantai Timur Sabah dengan pusat sedia ada di Tawau yang menempatkan lebih 30 pelajar.
“Kita sangat terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu membuka francais PAUS terutama di kawasan luar bandar yang mempunyai keperluan tinggi terhadap pendidikan dan penjagaan kanak-kanak autisme.
“Selain membantu keluarga, ia juga mampu menjana ekonomi serta membuka peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kesedaran dan Pemerkasaan Autisme Peringkat Daerah Kunak, di sini, hari ini.
Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah turut menyediakan latihan serta merekrut tenaga pengajar dan sukarelawan bagi memperkukuh sistem sokongan kepada kanak-kanak autisme.
Katanya, peluang latihan turut dibuka kepada orang awam yang berminat untuk menceburi bidang penjagaan dan kerja sosial melalui kursus jangka pendek yang disediakan.
“Keperluan tenaga mahir dalam bidang ini semakin meningkat, justeru kita menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk turut serta sama ada sebagai sukarelawan atau menjadikannya sebagai kerjaya,” katanya.
Beliau berkata, program kesedaran autisme akan terus diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan penjaga.
Menurutnya, seminar seperti itu bukan sekadar memberi kesedaran, malah menjadi platform penting untuk ibu bapa mendapatkan ilmu serta panduan daripada pakar.
“Kita mahu kesedaran ini sampai ke kawasan pedalaman supaya ibu bapa lebih memahami keperluan anak-anak autisme yang mempunyai keunikan tersendiri dan memerlukan pendekatan berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan subsidi RM350 kepada kanak-kanak autisme daripada keluarga B40 yang layak bagi meringankan beban kewangan keluarga.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemangkin Pendidikan Generasi Proaktif Kunak, Nor Fahejah Rente berkata, seminar berkenaan dianjurkan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Hospital Kunak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah, Pusat Autisme Sabah (PAUS) Cawangan Tawau serta Pejabat Pendidikan Daerah Kunak.
Menurutnya, program itu turut mendapat sokongan penaja tempatan yang bersama-sama menjayakan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme di daerah berkenaan.
