KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyeru umat Islam agar terus menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau, Hajiji berkata Aidiladha membawa pengertian besar mengenai pengorbanan sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Beliau berkata, semangat pengorbanan dan keikhlasan itu wajar dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian demi memperkukuhkan keimanan serta hubungan sesama insan.
“Sempena Hari Raya Aidiladha 1447H, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya di Sabah,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengajak rakyat mengambil kesempatan pada hari penuh keberkatan itu untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran berterusan buat negeri Sabah serta Malaysia.
Menurutnya, Aidiladha juga seharusnya menjadi titik tolak untuk masyarakat terus meningkatkan nilai pengorbanan selain memperbanyakkan amalan kebajikan demi memperoleh rahmat dan keberkatan Allah SWT.
Beliau berharap sambutan Aidiladha tahun ini dapat terus memperkukuhkan perpaduan, keharmonian serta semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat. – DAKWAT RAKYAT POST
