LAHAD DATU: Pengerusi Masjid Nurul Aman, Taman Aman Jaya, Dr. Haji Mohammad Ayub Yaacob menyeru jemaah dan para peserta korban agar menghayati sambutan Aidiladha sebagai medan memperkukuh ketakwaan, pengorbanan dan kasih sayang sesama insan.
Beliau berkata, Aidiladha bukan sekadar sambutan hari raya, tetapi hari besar umat Islam yang mengingatkan manusia kepada nilai ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan keredaan Nabi Ismail a.s terhadap perintah Allah SWT.
Menurut beliau yang juga mantan Pegawai Daerah Lahad Datu, ibadah korban yang dilaksanakan bukan hanya penyembelihan haiwan, sebaliknya lambang ketundukan seorang hamba kepada Allah serta usaha menundukkan ego di hadapan Tuhan.
“Daging dan darah korban tidak sampai kepada Allah, tetapi yang sampai ialah ketakwaan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan Aidiladha kepada jemaah masjid dan para peserta korban.
Dr. Haji Mohammad Ayub turut mengingatkan bahawa agihan daging korban perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, adab dan kasih sayang supaya nikmat Aidiladha dapat dirasai semua lapisan masyarakat, termasuk jiran serta golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, Aidiladha juga wajar dijadikan ruang untuk umat Islam memperbaharui azam dengan mengorbankan masa untuk Allah dan keluarga, harta untuk membantu golongan memerlukan serta ego untuk saling memaafkan.
Sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan pada tahun ini dan berjaya diserahkan kepada golongan memerlukan.
Dalam ucapannya, beliau turut mendoakan agar ibadah korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT sebagai penebus dosa, penambah pahala dan pengikat ukhuwah dalam kalangan jemaah.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H kepada seluruh jemaah serta memohon kemaafan zahir dan batin.
