KOTA MARUDU, 18 Jun 2026 – Pemimpin di peringkat akar umbi disaran terus memperkukuhkan peranan mereka sebagai agen penyatuan masyarakat bagi memastikan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara di tengah-tengah pelbagai cabaran semasa.
Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, pemimpin komuniti memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, sekali gus membantu menyampaikan dasar serta aspirasi kerajaan kepada masyarakat.
Beliau berkata, golongan itu juga perlu menjadi contoh dalam memupuk semangat patriotisme, integriti dan perpaduan bagi memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.
Menurutnya, Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti yang dianjurkan hasil kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM Sabah merupakan platform terbaik untuk meningkatkan kefahaman pemimpin masyarakat mengenai peranan mereka dalam pembangunan komuniti.
“Program ini bukan sahaja memberi ruang kepada peserta menambah ilmu pengetahuan, malah menjadi medium untuk memperkukuhkan semangat cintakan negara, menghayati nilai perpaduan dan memperkasa jati diri pemimpin masyarakat.
“Pemimpin akar umbi merupakan barisan hadapan yang berinteraksi secara langsung dengan rakyat, justeru mereka perlu sentiasa bersedia mendukung agenda pembangunan dan menyampaikan maklumat kerajaan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti yang berlangsung di Dewan AB Grand Hall, di sini hari ini.
Kira-kira 850 peserta menghadiri seminar sehari itu yang menjadi siri ketiga penganjurannya selepas program sama berjaya dilaksanakan di Sandakan dan Tawau sebelum ini.
Program berkenaan dimulakan dengan sesi interaktif kenegaraan yang memberi pendedahan mengenai semangat patriotisme, kecintaan kepada negara serta penghayatan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Peserta turut mengikuti sesi perkongsian kenegaraan yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang.
Selain itu, seminar berkenaan turut menampilkan ceramah bertajuk “Bila Amanah Bertukar Menjadi Jenayah Rasuah dalam Pengurusan Dana” yang dikendalikan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sesi tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan organisasi serta komuniti.
Turut diadakan ialah sesi penerangan mengenai agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disampaikan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya bagi menjelaskan hala tuju pembangunan negeri, pelaksanaan inisiatif kerajaan serta peranan pemimpin masyarakat dalam memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat.
Seminar itu menghimpunkan peserta dari tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Kapor, Banggi, Pitas, Bengkoka, Matunggong, Bandau dan Tandek.
Awang Kadin berkata, penganjuran seminar tersebut berjaya menjadi wadah perkongsian ilmu, pengukuhan jaringan kerjasama dan pemantapan peranan pemimpin masyarakat dalam menyokong agenda pembangunan negeri dan negara.
Beliau berharap ilmu, pengalaman serta hubungan kerjasama yang terjalin sepanjang program itu dapat melahirkan lebih ramai pemimpin komuniti yang berwibawa, berintegriti dan berkeupayaan menyumbang kepada kemajuan masyarakat setempat.
“Segala pengetahuan yang diperoleh menerusi seminar ini perlu diterjemahkan melalui tindakan serta perkhidmatan yang lebih berkualiti demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AKM, para penceramah, urus setia dan semua peserta yang menjayakan program berkenaan.
Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; Pemimpin-Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), pegawai AKM dan UPPM, wakil SPRM serta pemimpin masyarakat dari tujuh kawasan DUN yang terlibat. – DAKWAT RAKYAT POST
