HOUSTON: Prestasi hambar kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, ketika seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo (DR Congo) dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia 2026 mencetuskan persoalan sama ada dia masih individu terbaik untuk mengetuai cabaran negaranya.
Penyerang berusia 41 tahun itu yang membuat penampilan keenam di Piala Dunia – rekod yang turut dikongsi Lionel Messi – gagal memanfaatkan dua peluang terbaik pada babak kedua apabila kedua-dua percubaannya dari jarak dekat tersasar.
Portugal terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang DR Congo yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia selepas 52 tahun.
Kegagalan Ronaldo menyempurnakan peluang itu turut mengundang reaksi kecewa daripada kapten kedua pasukan, Bruno Fernandes, yang berada dalam posisi lebih baik ketika salah satu peluang tersebut tercipta.
Statistik turut menunjukkan Ronaldo hanya melakukan 25 sentuhan sepanjang perlawanan, paling sedikit dalam kalangan pemain Portugal yang beraksi lebih 45 minit.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, bagaimanapun enggan mengkritik prestasi bintangnya itu dan sebaliknya menyifatkan Ronaldo tidak menerima sokongan secukupnya daripada rakan sepasukan.
“Kami perlu memanfaatkan semua pemain di atas padang. Penyerang utama perlu berada berhampiran kawasan enam ela dan kami perlu menghantar bola kepadanya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia mempertimbangkan untuk mengeluarkan Ronaldo, Martinez menegaskan pengalaman pemain itu masih amat penting buat pasukan.
“Tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa ketika pasukan memerlukan gol.
“Pengalaman Cristiano di dalam kotak penalti sangat penting. Cara dia menarik perhatian pertahanan lawan dan membuka ruang kepada pemain lain juga amat bernilai,” katanya.
Perdebatan mengenai peranan Ronaldo sama ada sebagai pemain utama, pemain gantian atau sebaliknya bukan perkara baharu dalam skuad Portugal.
Walaupun usianya semakin meningkat, rekod 143 gol dalam 229 penampilan antarabangsa meletakkan dia antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
