LAHAD DATU – Bendahari UMNO Sabah yang juga mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak menyeru Pemuda UMNO Sabah agar meletakkan Agenda Sabah sebagai keutamaan serta tampil sebagai pelopor politik yang sederhana, matang dan berorientasikan penyelesaian demi menjamin masa depan negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu yang diketuai Datuk Sri Dr. Anil selaku Pembantu Menteri Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.
Menurut beliau, generasi muda perlu memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar memberi kesan kepada rakyat seperti peluang pekerjaan, pendidikan, pembangunan ekonomi, kemudahan asas serta kesejahteraan hidup, dan bukannya terperangkap dalam polemik politik yang tidak membawa manfaat kepada negeri.
Dr Salleh turut menegaskan bahawa sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah, Barisan Nasional (BN) Sabah komited memberikan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor dalam menjayakan Agenda Sabah serta memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Peranan BN dalam kerajaan bukan untuk tampil sebagai parti dominan atau mengejar jawatan. Tanggungjawab kita adalah membantu memastikan kestabilan politik, menyokong agenda kerajaan serta memastikan rakyat dan ahli parti di peringkat akar umbi turut menikmati hasil pembangunan yang dibawa oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, BN menerima hakikat bahawa parti itu bukan rakan yang setara dalam kerajaan negeri ketika ini dan perkara tersebut perlu diterima sebagai realiti politik semasa. Namun, katanya, kedudukan itu tidak menghalang BN untuk terus memainkan peranan secara konstruktif sebagai rakan kerajaan yang bertanggungjawab.
“Yang penting ialah Sabah terus maju, ekonomi terus berkembang dan generasi muda mempunyai masa depan yang lebih baik. Agenda Sabah mesti mengatasi kepentingan politik sempit kerana akhirnya rakyat akan menilai kita berdasarkan hasil yang dibawa, bukan sekadar slogan yang dilaungkan,” katanya.
