KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah memberi perhatian khusus terhadap pembangunan sukan badminton di negeri ini susulan potensi besar yang dimiliki ramai bakat muda untuk diketengahkan sehingga mampu mencapai tahap pemain bertaraf dunia.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia,Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Sri Dr. Anil Sandhu berkata usaha memperkukuh pembangunan sukan badminton akan terus dipergiat sejajar dengan sambutan yang semakin menggalakkan terhadap sukan berkenaan di Sabah.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui kementerian berkaitan turut memberi perhatian terhadap pembangunan pelbagai jenis sukan lain dengan sasaran meningkatkan pencapaian atlet Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang di Selangor.
Katanya, seluruh kepimpinan kementerian komited dan sedang bekerja keras bagi memastikan pembangunan sukan di Sabah dapat diperkasakan demi melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Badminton MK di Dewan Sri Perdana pada Jumaat malam.
Menurut Anil, pembangunan yang lebih tersusun termasuk dari aspek latihan, pendedahan kepada pertandingan serta sokongan infrastruktur diyakini mampu melahirkan lebih ramai atlet berkualiti untuk mewakili Sabah dan negara di peringkat antarabangsa.
Tambah beliau, pembangunan sukan badminton di Sabah turut melibatkan usaha menambah baik fasiliti sedia ada serta melaksanakan pencarian bakat baharu yang akan digilap menjadi pemain profesional.
“Tumpuan kita bukan hanya untuk melahirkan juara di peringkat negeri tetapi memastikan atlet Sabah mampu bersaing di pentas lebih tinggi pada masa depan,” katanya.
