KOTA KINABALU, 23 Jun 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi dua serbuan berasingan di Semporna dan Kota Kinabalu di bawah Op Taring Landai Khas, dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM526,533.50.
Dalam operasi pertama yang dijalankan pada 21 Jun lalu, sepasukan anggota PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah kawasan perumahan atas air di Kampung Mesra, Semporna selepas menerima maklumat dan menjalankan risikan berkaitan aktiviti penyelewengan bahan kawalan.
Hasil pemeriksaan menemukan dua buah bot serta 277 jerikin berisi minyak petrol yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan. Nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan tersebut dianggarkan sebanyak RM132,651.00.
Sementara itu, dalam operasi kedua yang dijalankan pada 22 Jun di sebuah gudang di Taman Dai Ming Baru, Kota Kinabalu, pihak polis berjaya membongkar kegiatan penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi secara tidak sah.
Dalam serbuan itu, sebanyak 17,250 liter minyak diesel bersubsidi dirampas bersama lapan unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), sebuah skid tank, beberapa kenderaan serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemindahan minyak.
Seramai enam individu terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga asing berumur antara 25 hingga 57 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan berkenaan.
Kesemua rampasan dan tangkapan telah dibawa ke lokasi yang ditetapkan untuk tindakan lanjut dan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM Wilayah 4 Sabah memaklumkan bahawa pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan ekonomi rakyat.
Menurut kenyataan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang bagi memastikan bekalan barang kawalan sampai kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan.
Operasi berterusan yang dijalankan PPM Wilayah 4 Sabah membuktikan komitmen pasukan itu dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan serta penyelewengan barang bersubsidi di negeri ini. – DAKWAT RAKYAT POST
