PUTRAJAYA: Seorang wanita Malaysia merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menimbang semula permohonan kewarganegaraan dua anak lelakinya selepas permohonan daftar lewat kad pengenalan ditolak walaupun ujian DNA mengesahkan hubungan mereka sebagai ibu dan anak.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Zubaidah, 50, itu merayu urusan dua anak lelakinya yang masing-masing kini berusia 27 dan 23 tahun dipermudahkan serta dapat memperoleh pengiktirafan warganegara selepas melalui pelbagai kesulitan sejak kecil.
Dua beradik itu dilahirkan di Malaysia, masing-masing pada 1999 di Kelantan dan 2003 di Sungai Buloh, Selangor sebelum didakwa dibawa keluar ke Indonesia oleh bapa kandung mereka warga negara terbabit pada 2004 tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Saya berharap JPN dapat memudahkan urusan anak-anak saya. Saya sudah tiada kemampuan untuk menghantar mereka pulang ke Indonesia bagi membetulkan maklumat pasport.
“Saya sudah berhenti kerja kerana syarikat mengurangkan pekerja. Sepanjang tiga tahun menguruskan pelbagai urusan berkaitan dokumen, saya sudah menghabiskan banyak wang.
“Saya benar-benar berharap JPN dapat mempertimbangkan rayuan ini dan tidak menyukarkan lagi urusan anak-anak saya,” kata Siti Zubaidah pada sidang media diatur Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.
Wanita berkenaan hadir bersama peguam MHO, May Eva Sofea Zainal Abidin dan Muhammad Falaq Adnan di Ibu Pejabat JPN bagi mengemukakan rayuan dan mendapatkan penjelasan berhubung penolakan permohonan terdahulu.
May Eva berkata, berdasarkan maklum balas daripada JPN, permohonan sebelum ini ditolak berikutan percanggahan maklumat dalam dokumen dimiliki dua beradik terbabit, termasuk perbezaan ejaan nama, tarikh lahir dan tempat kelahiran antara sijil kelahiran Malaysia dengan pasport Indonesia.
“Ketika dibawa keluar dari Malaysia, anak sulung berusia lima tahun, adiknya baru berusia setahun. Mereka ditinggalkan bersama datuk dan nenek di Indonesia tanpa dokumen asal dari Malaysia.
“Susulan itu, mereka didaftarkan dalam kartu keluarga di Indonesia yang kemudian jadi asas kepada pengeluaran pasport negara itu. Bagaimanapun, maklumat dalam pasport Indonesia berbeza dengan sijil kelahiran Malaysia, termasuk ejaan nama, tarikh lahir dan tempat lahir yang direkodkan,” katanya.
Beliau berkata, dua beradik itu hanya kembali ke tanah air pada 2023 dan kini masih menggunakan pasport negara jiran berkenaan kerana belum memperoleh dokumen pengenalan Malaysia.
Katanya, JPN mencadangkan agar maklumat dalam pasport Indonesia diselaraskan terlebih dahulu sebelum permohonan dikemukakan semula, namun ia sukar dilaksanakan kerana anak guamnya dimaklumkan oleh Kedutaan Indonesia bahawa pembetulan perlu dilakukan di negara berkenaan.
“Kami berpandangan langkah itu tidak praktikal kerana memerlukan kos yang tinggi sedangkan perkara ini boleh diselesaikan di sini, tambahan pula ibu mereka kini berdepan masalah kewangan.
“Kami berharap kes ini dapat dipertimbangkan berdasarkan fakta-fakta istimewa kerana mereka dibawa keluar dari Malaysia ketika kecil tanpa sebarang dokumen yang sah, bukannya atas kehendak sendiri,” katanya.
MHO turut berharap aspek kemanusiaan diberi perhatian memandangkan dua beradik itu disahkan mempunyai hubungan darah dengan ibu mereka warga Malaysia menerusi ujian DNA serta memiliki sijil kelahiran negara ini.
“Kedua-dua mereka kini bekerja sebagai pencuci, namun berpotensi memperoleh peluang pendidikan serta pekerjaan yang lebih baik sekiranya diberikan status kewarganegaraan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
