PASIR PUTEH – Sepasang suami isteri buntu untuk mencari sumber kewangan bagi perbelanjaan bayi sindrom Down yang baru berusia 10 bulan menderita masalah usus apabila tidak dapat membuang air besar secara normal sejak lahir.
Ibunya, Nur Afifah Mat Yeh, 25, berkata, anaknya, Muhamad Arrash Affan Muhamad Shahmin Aiman terpaksa membuang air besar melalui perut selepas menjalani pembedahan usus bulan lalu.
Katanya, dia memerlukan kos sebanyak RM3,000 sebulan untuk perbelanjaan anaknya termasuk peralatan perubatan, lampin pakai buang dan perbelanjaan pengangkutan ke hospital.
Ujarnya, dia dan suami, Muhamad Shahmin Aiman Mohd. Rosdi, 25, ketika ini tidak bekerja kerana perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak mereka untuk rawatan di Hospital Tengku
Anis di sini, dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu setiap minggu.
“Muhamad Arrash Affan, anak bongsu daripada dua beradik tidak boleh memakai beg stoma iaitu kantung dilekat pada perut untuk membuang air besar kerana masih kecil.
“Saya perlu menampal pembalut luka dan kain untuk menutup bahagian itu setiap kali anaknya membuang air besar melalui perut.
“Anak saya hanya boleh memakai beg stoma apabila berat badan mencecah lima kilogram,” katanya di Kampung Sungai Kelong di sini kelmarin.
Ujarnya, selain masalah usus, mata kiri anaknya juga rabun hingga menyukarkan penglihatannya meskipun belum mencecah usia setahun.
Buat masa ini katanya, dia dan suami bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 sebulan dan perlu mencatu pelbagai perbelanjaan untuk memastikan kesihatan Muhamad Arrash Affan diutamakan.
Prihatin dengan nasib bayi itu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (i Sejahtera), Datuk Mohammad Hamizan Amzah menyampaikan sumbangan wang tunai dan tiga beg lampin pakai buang untuk kegunaan Muhamad Arrash Affan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nur Afifah di talian 011-3532 5583 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 03090020804197.
Kredit sumber: KOSMO
