Ampang: Dalam tempoh tidak sampai setahun, kehidupan normal Muhammad Nurhafiy Mohd Sazali berubah sepenuhnya apabila dia kini bukan sahaja terlantar akibat kedua-dua kaki dipotong, malah turut akan kehilangan kedua-dua tangan akibat menghidap barah darah.
Hafiy, 22, menerima ujian berat itu kira-kira sebulan lalu apabila kedua-dua kakinya terpaksa dipotong kesan penyakit yang dihidapinya sejak Oktober lalu, lebih menyedihkan dia juga bakal kehilangan kedua-dua tangan.
Semuanya bermula selepas Hafiy menyedari ada yang tidak kena pada dirinya selepas mendapati ada ketulan kelenjar di beberapa bahagian badannya diikuti dengan bengkak tangan kiri ketika tahun akhir pengajian diploma pada 2025.
“Tak ada simptom atau petanda melainkan bengkak tangan dan kelenjar antaranya dekat tengkuk juga ketiak yang lama-kelamaan semakin besar.
“Bagi mendapatkan kepastian, emak dan ayah bawa saya ke sebuah klinik, namun tak dapat melakukan X-ray di situ.
“Jadi, saya kemudian dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap barah.
“Sedih sangat selepas diberitahu doktor. Terkejut dan macam tak percaya, saya pun tak tahu apa-apa mengenai penyakit itu kerana tiada ahli keluarga saya yang menghidap barah,” katanya.
Namun, Hafiy mengikut saranan doktor untuk menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam pusingan pada April lalu.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia tidak kuat, namun bersyukur kerana bukan keseorangan sebaliknya banyak mendapat semangat daripada keluarga terutama ibu, Huzaimah Berhan, 48 dan bapa, Mohd Sazali Jelani, 51.
Katanya, mereka bukan hanya penguat semangat, malah bergilir menjaganya yang kini sudah lebih sebulan menerima rawatan di Hospital Ampang.
“Memang ada fasa patah semangat terutama selepas tangan dan kaki tak boleh nak bergerak.
“Waktu dapat tahu kaki tak dapat diselamatkan, saya menangis kerana perlu dipotong pada paras bawah lutut ke bawah akibat darah tidak sampai serta impak pada tulang pinggul.
“Tapi, tiada pilihan dan tak lama lagi, kedua-dua tangan pula akan dipotong kerana masalah sama dan keadaan menjadi lebih teruk apabila bertukar hitam dan bernanah akibat jangkitan kuman,” katanya.
Menurut Hafiy, banyak yang perlu dikorbankan sejak menghidap barah, salah satunya melupakan hasrat meneruskan pengajian di kampus buat sementara waktu.
“Ikutkan, saya baru menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor tahun lalu.
“Tetapi, tak dapat teruskan pengajian buat masa ini kerana masalah kesihatan…tapi, saya harap masih ada harapan habiskan pengajian dan kejar impian saya untuk bergelar pelukis pelan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sazali turut bersedih mengenangkan derita ditanggung Hafiy namun kuatkan semangat untuk reda dengan ketentuan Allah SWT.
“Sebagai ayah, tentunya saya sedih malah sudah puas menangis memikirkan nasib anak.
“Paling sedih dan merisaukan saya waktu Hafiy koma dua minggu selepas selesai menjalani kemoterapi kerana tak tahu dia akan sedar semula atau tidak.
“Syukur Allah SWT panjangkan umur Hafiy dan sekarang, saya isteri juga anak yang lain akan bersama menjaga serta beri sokongan.
“Tak sampai hati sebenarnya untuk izinkan kaki Hafiy dipotong tapi terpaksa kerana nak selamatkan nyawanya. Hafiy pun tak nak tangannya dipotong tapi kena segerakan kerana dikhuatiri kuman merebak,” katanya
Kredit sumber: Harian Metro
