SANDAKAN: Empat individu warga asing ditahan selepas dipercayai mendalangi sindiket mencuri dan mengagihkan bekalan elektrik secara haram ke rumah di penempatan setinggan.
Keempat-empat individu berkenaan ditahan menerusi operasi bersepadu diketuai Energy Commission of Sabah (ECoS) selama tiga hari bermula Rabu lalu ke beberapa penempatan setinggan di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata siasatan mendapati sindiket itu mengenakan bayaran RM50 hingga RM100 untuk setiap rumah yang menerima bekalan elektrik menerusi sambungan haram.
Katanya, mereka kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(1)(b), Seksyen 61(1), Seksyen 61(3)(a) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Operasi bersepadu seperti ini akan terus dipergiat bagi membanteras kegiatan mencuri elektrik yang bukan saja menyalahi undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan seperti renjatan elektrik dan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi bersepadu itu disertai 80 pegawai pelbagai agensi membabitkan ECoS, Sabah Electricity (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Air Negeri Sabah.
Abdul Nasser berkata, dalam operasi yang sama, sebanyak 35 kes membabitkan 26 individu bukan warganegara dan sembilan warganegara turut disiasat mengikut Seksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 atas kesalahan mencuri bekalan elektrik.
Katanya, kes itu dijangka dibawa ke mahkamah sebaik proses siasatan selesai.
“Selain tindakan penguatkuasaan oleh ECoS, SE turut melaksanakan pendekatan ‘meter house’ bagi mengurangkan risiko sambungan elektrik secara haram serta memastikan bekalan elektrik yang lebih selamat dan teratur kepada pengguna.
“ECoS akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dalam usaha membendung kegiatan kecurian elektrik di Sabah,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
