KOTA KINABALU, 4 Julai 2026 – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan Kerajaan Sabah kekal komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.
Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital serta sektor strategik lain yang menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Usaha ini akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang AI, teknologi digital serta sektor strategik berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal, pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, tema persidangan ASAIHL 2026 iaitu “Merapatkan Sempadan, Membina Masa Depan: Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Pembangunan Mampan dan Transformasi Digital di Asia” amat relevan dengan landskap dunia yang sedang melalui perubahan pesat akibat kemajuan teknologi.
Menurutnya, Sabah berdepan pelbagai cabaran dalam memperkasa pembelajaran sepanjang hayat berikutan faktor geografi yang melibatkan kawasan pesisir pantai, tanah tinggi dan pedalaman yang luas, selain kepelbagaian etnik serta budaya masyarakat di negeri ini.
Katanya, jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar turut menjadi cabaran yang perlu ditangani, namun kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memperluaskan akses kepada pendidikan berterusan.
“Antara langkah yang diambil ialah menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Sabah, kolej komuniti, pusat latihan vokasional serta pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan peluang pembelajaran sepanjang hayat dapat dinikmati lebih ramai rakyat,” katanya.
Beliau berkata, fokus utama ketika ini bukan lagi mempersoalkan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, sebaliknya bagaimana membina sistem, jaringan kerjasama dan pemikiran yang mampu menjadikan pendidikan lebih mudah diakses, saksama serta berkesan kepada semua lapisan masyarakat.
Mengulas mengenai perkembangan teknologi, Hajiji berkata AI kini mengubah cara manusia bekerja, manakala kemunculan pelbagai teknologi baharu menuntut industri dan profesion sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Beliau berkata, integrasi AI, analitik data raya, pembelajaran mesin serta platform digital dalam pelbagai aspek kehidupan telah mengubah landskap pendidikan, perdagangan, tadbir urus dan interaksi sosial.
“Perubahan ini membuka peluang besar kepada universiti di seluruh Asia untuk memperluaskan akses pendidikan melalui platform dalam talian, mikrokelayakan, bilik darjah maya serta pembelajaran diperibadikan yang disokong teknologi AI, namun pada masa sama turut membawa cabaran baharu yang perlu dihadapi bersama,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penyertaan tokoh akademik dan penyelidik dalam persidangan itu yang menurutnya memainkan peranan penting dalam memacu transformasi digital dan inovasi pendidikan.
Katanya, sebanyak 12 kertas penyelidikan daripada penyelidik di seluruh rantau Asia dibentangkan sepanjang persidangan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam menterjemahkan potensi teknologi kepada pembangunan sektor pendidikan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, ASAIHL 2026 berjaya menghimpunkan peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Uzbekistan, Kemboja dan Perancis.
Menurut beliau, penyertaan antarabangsa itu mencerminkan kepelbagaian tradisi akademik, pengalaman dan konteks dasar yang menjadi asas penting dalam memperkukuh kerjasama serta pertukaran ilmu di peringkat global.
Beliau turut memuji peranan UMS yang terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat menerusi pelaksanaan pelbagai program jangkauan masyarakat, pembangunan profesional dan aktiviti libat urus komuniti.
“Saya berharap lebih banyak institusi dan organisasi yang berkongsi aspirasi sama akan mencontohi usaha seperti ini dalam memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat demi manfaat rakyat dan pembangunan negeri,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
